Friday 18 May 2012

Nasuha Suhada




"Luar biasa..luar biasa..." ujar Rusdi Rasuli dalam hatinya. Diulangnya video itu beberapa kali. Kagum benar Rusdi dengan kesungguhan budak lelaki tersebut.
"Bukan calang calang punya lelaki dia ni, kalau bukan berbangsa Viking, pasti dia dari keturunan Greek" getus Rusdi lagi.
Setelah di buat kira kira, hampir 14 kali budak lelaki itu ditolak gadis tersebut. Tolakan pertama itulah yang paling hebat, dia jatuh dan tersentap bagaikan ingin berputus asa. Tapi tidak! dia bangkit dan mencuba lagi. 
"Gila. Mungkin inilah yang dikatakan cinta sejati" bisik Rusdi.

Rusdi meninggalkan meja komputernya lalu melabuhkan punggungnya di sofa ruang tamu. Rokok Marlboro dinyalakan. Dia menghembuskan asap yang pertama dengan sepenuh nafas. Fikirannya melayang layang terbang bersama asap rokok.

Nasuha Suhada adalah cinta hati Rusdi. Cantik bagaikan pari pari. Walaupun tidak pernah berjumpa pari pari, tapi Rusdi yakin benar jika pari pari itu wujud, wajahnya pasti secantik Nasuha Suhada.
Kini sudah masuk tahun kedua mereka sekelas di Unisel. 2 tahun itu juga Rusdi hanya mampu memandang Nasuha Suhada dari tempat duduknya di kelas. Oh! Pernah sekali Nasuha Suhada menegur dan bercakap dengan Rusdi.
"Awak, tolong buangkan sampah ni.."
"Oh..okay"
Itulah kali pertama dan satu satu nya scene dimana dia dan  Nasuha Suhada  bertegur. Tidaklah dia jangka yang duduk berhampiran tong sampah pada hari tersebut akan menerbitkan scene indah yang dia tak kan lupakan sampai bila bila. Sejak dari hari itu Rusdi selalu datang awal ke kelas dan mendapatkan seat khas betul betul di tepi tong sampah tersebut. Malangnya hari hari selepas itu  Nasuha Suhada  tidak pula ditakdirkan duduk berhampiran dengan dia lagi.

"Tak boleh jadi ni, esok macam mana pun aku kena berterus terang juga dengan  Nasuha Suhada !" entah semangat saka rimau mana yang datang, Rusdi tiba tiba bersemangat dan berkobar kobar untuk meluahkan isi hatinya pada  Nasuha Suhada . Mungkin video di Youtube yang ditontonnya tadi yang memberikan satu kekuatan untuk beliau mencuba nasib. Rusdi bercadang untuk berterus terang dengan  Nasuha Suhada  selepas tamat kelas esok. 
Rusdi masuk ke dalam bilik untuk tidur. Kalau di ikutkan hati dan semangat dia yang sedang membara itu, mahu saja dia pergi ke hostel perempuan dan mencari  Nasuha Suhada  lantas meluahkan isi hatinya malam itu juga, tapi syukurlah Rusdi masih boleh berfikir dengan waras dan tidak hilang pertimbangan.

Pagi. Rusdi bangun dengan sungguh bersemangat. Dia ada misi penting hari itu. Mandinya pagi itu lebih lama dari hari hari kebiasaannya. Selesai mandi dan mengeringkan badan, Rusdi memotong kuku. Entah apa kaitan kuku dengan misi beliau hari tu pun dia kurang pasti. tapi Rusdi tetap merasakan yang dia harus memotong kuku yang tak berapa nak panjang tu. Cermin dipandang berkali kali. Tak cukup cermin di bilik, Rusdi merenung pula cermin di ruang tamu. Kalaulah cermin itu boleh bersuara pasti dia akan suruh Rusdi bawa bertenang dan buat rileks. Dalam perjalanan ke Unisel Rusdi sempat menelefon emaknya bertanyakan khabar dan mengucapkan selamat pagi. 2 tahun Rusdi di Unisel, itulah kali pertama dia menelefon emaknya pagi pagi buta untuk bertanyakan khabar dan bukannya meminta wang.
"Entah kena tegur dengan jin islam agaknya anak aku pagi ni" bisik mak Rusdi dalam hati.
Selesai parking kereta. Rusdi berjalan menuju ke fakultinya. Hampir kesemua orang yang dia selisih, diucapkannya selamat pagi. Sempat juga Rusdi membuat kelakar dengan mengucapkan 'Guten Morgen' kepada pak guard Nepal yang sedang meronda, tapi salam pagi itu hanya disambut dengan muka yang ketat. Bukan main ceria dan bersemangat Rusdi pagi itu. Sambil melangkah dia menyanyi bait bait indah dari lagu 'Kosong' Najwa Latiff.

Rusdi mengambil tempat biasanya di kelas. Kerusi bersebelahan dengan tong sampah. Tong sampah yang murah itu pun kelihatan cantik bagai buatan Ikea di mata Rusdi pagi itu. Seperti hari hari lain, Nasuha Suhada duduk jauh daripadanya. Kelas akan tamat jam 11.30 pagi bermakna ada 3 jam lagi untuk misi penting dilaksanakan.
Rusdi semakin berdebar. Matanya tidak putus putus memandang  Nasuha Suhada  yang ralit mencatat nota. Sesekala  Nasuha Suhada  memandang ke arah Rusdi setelah rasa seperti diperhatikan, tapi dengan skill mengendap yang sudah dipraktikkan selama 2 tahun, anak mata Rusdi dengan pantas menukar view.

Kelas tamat. Rusdi lekas lekas mengeluarkan surat yang di karangnya sebelum tidur malam tadi. Rusdi memilih surat sebagai perantaraan kerana dia tidak berapa yakin yang dia boleh bercakap direct meluahkan perasaanya pada  Nasuha Suhada . Bila dah nervous macam macam hal boleh jadi, bahasa melayu yang ditutur boleh menjadi bahasa urdu jika panik.

Surat kecil itu dipegang erat. Rusdi berjalan menuju ke  Nasuha Suhada  yang sedang sibuk memasukkan nota dan buku ke dalam beg. Jantung semakin berdegup kencang. Peluh dingin mula membentuk di dahi. Moment dari kerusi Rusdi menuju ke kerusi Nasuha Suhada adalah 10 saat yang paling lama dan perlahan dalam hidup Rusdi.




bersambung....